Matlamat Dakwah

Matlamat bermaksud sasaran iaitu tuntutan asasi manusia dan tiada tuntutan yang lebih besar daripada tuntutan ini. Allah S.W.T menciptakan manusia dengan tujuan yang tertentu iaitu pengabdian secara total kepada penciptanya yang Maha Suci. Justeru matlamat hidup manusia adalah mencapai tuntutan penciptaan yang telah allah gariskan dalam Al Quran sesuai dengan firman Nya :

 

“ Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” (Al-Zaatiyat : 56)

 

Al Quran juga menjelaskan bahawa disana terdapat kelompok manusia yang tidak jelas dengan tujuan penciptaannya dan mempunyai tumpuan-tumpuan hidup seperti berikut:

1.       Makan dan berseronok

 

“ Dan (sebaliknya) orang-orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan dan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka” (Muhammad : 12)

2.       Terpesona dengan hiasan dan kesenangan hidup yang fana

“ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak; harta benda yang banyak bertimbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi berlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya ( iaitu syurga) “ (Aali Imran: 14)

3.       Suka mewujudkan suasana huru-hara dan tidak selamat

“ Dan di antara manusia yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati ( mendenngarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dialah orang yang amat keras permusuhannya(kepadamu). Kemudian apabila dia pergi ( dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di atas muka bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana dan kerosakan” ( Al Baraqah : 204-205)

 

Begitulah gambaran Al- Quran terhadap kehidupan manusia dan tidak jelas matlamat hidup mereka. Golongan-golongan ini pada hakikatnya telah menjadi tawanan dan hamba kepada nafsu mereka sendiri. Tumpuan mereka hanyalah mendapatkan sesuap nasi, kenderaan, hiasan, tidur yang nyenyak, wanita,imej yang palsu dan gelaran yang kosong.

Tugas orang beriman

Untuk orang-orang beriman dan jelas mengenai tuntuan penciptaannya, Allah S.W.T telah memberikan amanah untuk memimpin manusia yang mencari-cari tujuan hidup mereka ke jalan yang benar, membimbing ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia seperti yang dinyatakan dalam firman Allah :

“ Wahai orang-orang beriman, rukuklah serta sujudlah ( mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu Berjaya (dunia dan akhirat). Dan berjihadlah kamu kepada jalan Allah dengan jihad sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu ( untuk mengejarkan suruhan agamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu ; ‘orang-orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang member keterangan kepada umat manusia ( tentang benar dan salah). Oleh itu dirikanlah solat, dan berikanlah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan” (Al Hajj : 77-78)

Tidak hairanlah sekiranya tokoh-tokoh Islam lampau mampu memimpin manusia ke arah kegemilangan kerana mereka telah jelas matlamat dan tujuan hidup meraka.  Mari kita mengimbas kembali kisah pertemuan Rabi’I bin Amir yang telah diutuskan untuk bertemu paglima parsi iaitu Rustum dalam peperangan al Qadissiah.

Apabila Rustum bertanya kepada Rabi’I bin Amir mengenai apa tujuan tentera Islam datang ke Parsi, dengan megah dan penuh kejelasan matlamat dalam dirinya beliau menjawab :

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Rumusan

Oleh itu, matlamat dakwah kita ialah mengabdikan diri kepada Pencipta yang Maha Suci dengan membimbing manusia ke jalan yang benar, ke arah kebaikan manusia dan menyinari manusia dengan cahaya Islam.

 

Desediakan oleh:
Muhamad Naqib b Shariff
Presiden PEMBINA RCMP
 
Sumber :
1)      Perkara Asas dalam Agenda Kebangkitan Ummah (Kajian berdasarkan gagasan Imam Al Banna), Prof Dr Abdul Hamid Al Ghazali
2)      Himpunan Risalah