Suka. Rela.

10952320_1558714401053422_504181358_n

 

Assalamualaikum. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1436 Hijrah. Ya, rasanya belum terlambat untuk saya memberi ucapan tersebut khas buat para muslimin dan muslimat. Marilah kita bersama-sama menghayati sirah junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. serta mengambil iktibar dan penghayatan yang cukup bagi membimbing kita dalam jalan dakwah. Insyaallah, amin.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alhamdulillah, musim banjir yang melanda negara telah pun reda. Kini, bah yang membanjiri telah surut. Sekolah-sekolah dan balai raya yang dijadikan sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir kebanyakannya telah ditutup. Pulanglah para mangsa untuk membina kehidupan baharu selepas badai menimpa. Perit, namun rasa itu harus ditelan bagi meneruskan hari-hari yang mendatang. Walaubagaimanapun, saya amat bangga dan gembira bila melihat rakyat-rakyat Malaysia yang turut merasai penderitaan yang melanda mangsa-mangsa bah. Ternyata, Malaysia bertuah kerana memiliki penduduk yang murah hati dan sanggup membantu. Jadi, banyak bantuan yang disumbangkan tak kira dari segi kewangan, barang keperluan malahan sumber tenaga turut disalurkan. Tahniah Malaysia.

Sukarelawan yang berkhidmat juga tak terkira ramainya. Tidak kiralah yang bergerak secara individual atau melalui badan-badan pertubuhan tertentu. Bagi saya, para sukarelawan ini punya nilai simpati dan empati yang menggunung dalam diri mereka. Mereka bukan sahaja membantu dalam bentuk barangan malahan tenaga dan kudrat diri juga dikerah, semata demi meringankan beban mangsa. Jelas, mereka tidak mengharapkan apa-apa ganjaran, tetapi dengan suka dan penuh rela mahu bersama mangsa-mangsa banjir dalam meniti hari pasca banjir. Para sukarelawan ini tidak terbatas dalam hal membersihkan lumpur dan sampah sarap malahan turut membantu memberikan sokongan moral yang jitu terhadap mereka. Bukan semua orang berpeluang mengalami perasaan itu.

K-pop. Suka. Rela.

Dalam pada orang sibuk bercerita mengenai sukarelawan dan hal-hal pascabanjir, lain pula yang berlaku di ibu kota. Pasti, ia berita yang kedua terhangat di laman-laman social malah mungkin menenggelamkan cerita perihal banjir. Peminat suka dan penuh rela berkelakuan tidak sopan bersama satu kumpulan daripada Korea Selatan yang hadir membuat sesi bertemu peminat di Kuala Lumpur. Sedih, dan kecewa jelas terasa apabila menonton video adegan yang berlaku dalam konsert tersebut. Tidak perlulah saya jelaskan lebih lanjut. Pasti, anda juga telah sedia maklum dengan perkara yang berlaku.

Perasaan suka dan manusia memang lumrah. Namun, dek kerana suka yang melampau membuatkan para peminat wanita muslimah yang dijemput ke atas pentas tadi lupa akan agama dan akhlak. Mereka dengan rela membiarkan diri dipegang sewenang-wenangnya oleh lelaki ajnabi malahan menunjukkan aksi tidak sopan di khalayak! Malahan, mereka pula yang dilihat seakan melebih-lebih. Sepatutnya, mereka harus memikirkan natijah yang akan berlaku dalam setiap perbuatan mereka. Mereka juga seharusnya sedar bahawa pakaian yang mereka sarungkan melambangkan jati diri mereka sebagai seorang muslim. Saya kira, mereka terlampau seronok apabila berkesempatan bertemu artis kegemaran. Sadis.. Ini, contoh sukarela yang tersasar.

 

“…Kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan di akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa…”

(An-Nisa’ : 77)

 

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku”

(Al-Zaariyat : 56)

 

Meminati sesuatu tidak salah malahan ia menjadi salah satu sifat yang ada pada diri manusia. Cuma, sebagai insan yang punya akal untuk berfikir, kita seharusnya sedar bahawa setiap perbuatan kita diperhatikan Allah. Tetapi, kita juga tidak seharusnya meletakkan kesalahan bulat-bulat terhadap mana-mana individu. Bertaubatlah dan saling menasihati. Itu penting. Kerana, Allah maha menerima taubat. Nilai sesuatu bukan hanya pada luaran, namun mesti diselami hingga ke dasar. Minat biar berpada.

Oleh itu, marilah kita sentiasa bermuhasabah diri dan memohon petunjuk Illahi. Kerana kita hanya insan biasa.

 

Marina Abdul Halim

Liberalisme di Indonesia, peringatan untuk Malaysia

compare

Liberalisme di Indonesia telah sebati, ia disebarkan tanpa suara atau bunyi, meresap jauh di dalam diri.

1) Tiada sensitiviti. Di Indonesia, masalah utama mereka adalah ketidakupayaan untuk melihat masalah sebagai masalah. Akibat liberalisasi (keterbukaan dalam konteks agama), pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah di luar batasan.

2) Contoh ketara, tempat mengambil wudu’ di sana ada bercampur antara lelaki dan perempuan. Di mana tempat wudu’ lelaki di situ juga tempat wudu’ perempuan. Bahasa mudah, lelaki boleh melihat perempuan yg sedang berwudu’ dan begitu juga sebaliknya. Jika ada pengasingan tempat wudu’ pun, tempatnya masih terbuka dan masih boleh dilihat.

3) Pencairan akidah, ramai di kalangan mereka yang tidak bertudung namun masih bersolat di masjid. Biar ada yang mungkin berpendapat, mereka bagus kerana tetap menunaikan solat walaupun tidak bertudung. Namun dari sudut yang lain, ini menggambarkan rendahnya nilai agama bagi mereka. Agama itu adalah ritual semata-mata bukan implimentasi keseluruhan kehidupan, selektif hanya di masjid. Nilai maruah seseorang yang sebenar adalah bagaimana dia mengangkat nilai agama, jika rendah nilai agama, rendah juga nilai maruah mereka.

masjidistiqlal1

Masjid Istiqlal terletak berhadapan dengan Gereja Katedral di Jakarta.

4) Perkara 1, 2 dan 3 boleh dilihat di Masjid Istiqlal (masjid terbesar yang terletak di Jakarta). Bayangkan di musolla dan masjid-masjid lain di sana dengan keadaan serupa. Sambil tidak menafikan ada juga yang masih menjaga adab dan pergaulan di dalam masjid.

5) Hanya tak sampai 50 meter di hadapan Masjid Istiqlal adalah terletaknya gereja terbesar di Jakarta. Paling menarik keluar sahaja pintu utama masjid sudah boleh nampak gereja.

6) Kedua-dua bangunan itu, gereja dan masjid mempunyai perkataan ‘Allah’ pada dinding bangunan masing-masing. (Mungkin sangkaan generasi muda di sana “Boleh sembah mana-mana, gereja atau masjid, Allah juga)

7) Masalah sosial pula boleh diklasifikasikan kronik. Malam minggu di Jogjakarta remaja melepak di tepi-tepi jalan (lelaki perempuan berpelukan, memasang musik, dan berhibur). Di Bandung, malam minggu adalah malam ‘berpacaran’, boleh nampak pasangan duduk berdua secara terbuka tanpa ada rasa malu.

8) Golongan sedikit berusia masih gigih mencari makan, mengayuh beca, menjual makanan, dan membuat apa sahaja pekerjaan asalkan dapat sedikit duit untuk menyara keluarga. Orang tua mencari duit, golongan muda-mudi berpeleseran membuang duit.

Saya menghabiskan masa-masa di Indonesia dengan sebuah buku bertajuk ‘Islam dan Liberalisasi’ di tangan, sambil cuba mencari rasionaliti isu liberalisasi di Indonesia secara realiti. Sejak pertengahan kurun ke-19 telah ada usaha-usaha kolektif Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, dan hari ini, ia membuahkan hasil. Ideologi liberalisme semakin subur di sana. Kalau kita masih bersangka baik dengan “liberalisasi”, Malaysia akan menyusul seperti apa yang Indonesia lalui hari ini. Wallahualam.

*Saya tidak menafikan adanya sudut positif di Indonesia, cuma saya tak bernasib baik melihatnya di depan mata :)

 

Muhammad Aidil Idham Sharom

Aktivis Pembina Ipoh