CINTAILAH AKU SEPENUH HATI

Assalamu’alaikum  pembuka kata,
Dengan Bismillah tinta diberi,
Tiada yang indah selain cinta,
Apabila hati punya penyeri.

 

Bulan itu, bulan cinta… Petikan lirik daripada sebuah lagu ini jelas sesuai dengan bulan Februari. Februari dan cinta lazimnya digandingkan bersama kerana pada bulan inilah satu sambutan yang istimewa bagi pasangan muda mudi untuk melafazkan rasa kasih dan sayang mereka terhadap pasangan, berlangsung. 14 Februari atau dikenali sebagai Hari Kekasih. Terkenal sebagai Valentine’s Day di Barat malahan ia telah menjadi satu tradisi buat pasangan yang bercinta. Pada hari ini, kelazimannya si gadis akan menerima bunga daripada pasangan mereka dan akan dibalas dengan sekotak coklat bagi menunjukkan penghargaan buat insan tersayang. Hari ini turut dirai oleh seluruh penduduk dunia malahan sambutan besar-besaran turut dirancang beberapa bulan lebih awal bagi menyambut hari tersebut. Namun, tahukah anda bahawa Hari Kekasih ini sebenarnya mempunyai kisah yang lebih menarik daripada sebuah sambutan cinta biasa?

Raja Claudius II (268-270M) adalah seorang daripada raja yang telah memerintah empayar Rom. Sewaktu pemerintahannya berjalan, empayar Rom telah terlibat dengan pelbagai siri peperangan. Oleh itu, Raja Claudius II mengarahkan semua perkahwinan untuk dibatalkan.Tidak berpuas hati dengan arahan tersebut, St. Valentine dan St. Marius bertindak mengahwinkan pasangan Kristian secara sembunyi. Namun, hal tersebut akhirnya diketahui oleh Raja Claudius II dan raja tersebut telah menjatuhkan hukuman penggal kepala terhadap St. Valentine pada 14 Februari 270 Masihi. Oleh itu, bagi memperingati kematian St.Valentine, tarikh 14 Februari telah dijadikan sebagai hari upacara keagamaan .

Cerita diatas adalah tentang asal usul kewujudan Hari Kekasih. Sudah terang lagi bersuluh, hari tersebut merupakan hari keagamaan Kristian. Barangkali kita lupa bahawa dalam sebuah hadis, bahawa

“Seseorang yang meniru perbuatan sesuatu kaum adalah sebahagian daripada kaum tersebut”

11002879_1567770623481133_1999985631_o

Namun, seiring perubahan masa,hari itu telah dijadikan sebagai hari khusus buat pasangan bercinta bagi memanifestasikan rasa cinta buat kekasih hati. Namun, yang menyedihkan hati apabila hari ini turut disambut oleh remaja Islam dan lazimnya dirai dengan pergaulan bebas, berpesta hingga ke pagi dan mendorong kearah zina. Sedangkan Allah melarang hambanya untuk melakukan zina, apatah lagi menghampirinya. Hal ini terbukti kerana, setiap tahun selepas lapan bulan sambutan Hari Kekasih berlangsung, jumlah peratusan bayi luar nikah meningkat. Dan peratusan tertinggi dicatatkan oleh kaum Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Sedih, namun itulah hakikatnya. Kaum muda kini semakin jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Selain itu, jika kita fikirkan kembali, wajarkah kita mengasihi dan menunjukkan rasa cinta kita terhadap individu melalui satu hari yang khusus? Bukankah sayang dan cinta dilalui setiap hari? Adakah kita perlu lebih menghargai pasangan yang bukan halal daripada membalas jasa dan bakti yang dicurah ibu bapa sendiri? Seharusnya, sebagai anak yang taat, ibu bapa seharusnya menjadi keutamaan hidup selepas meletakkan Allah dan Rasul sebagai yang tertinggi dalam carta hati. Kerana, mereka yang telah banyak berkorban dalam membesarkan dan mendidik kita hingga ke usia kini. Sayangi dan hormati mereka, kerana redha Allah terletak pada redha mereka.Tanpa kehadiran ibu bapa sebagai pemula leluhur insan, dengan Allah memilih kita menjadi penyeri kehidupan suami isteri, pastinya kita tidak berpeluang untuk menghirup udara di dunia.

Ketahuilah para remaja, cinta bukan satu-satunya matlamat hidup. Ia cuma pewarna yang menyerikan fitrah manusia. Hadiah daripada Illahi buat hamba-Nya yang sangat dikasihi. Dalam Islam, kasih sayang dan cinta merupakan elemen utama yang menggerakkan perjalanan dakwah dan tarbiah Rasul kepada umatnya. Tanpa kasih sayang dan cinta Nabi Muhammad S.A.W, manusia tidak mungkin dapat menggapai nikmat iman, Islam dan ihsan. Di samping itu, antara sifat yang terkandung dalam Al Asma Ul Husna adalah Ar-Rahman yang bermaksud Maha Pengasih dan Ar-Rahim, Maha Penyayang. Tidakkah ia bukti jelas bahawa Islam agama cinta?

Di samping itu, Hari Kekasih juga membuka peluang buat syaitan bagi menghasut anak Adam bagi melakukan kemungkaran. Janganlah kita terpengaruh dengan bisikan syaitan, kerana nikmat yang sementara tidak membawa erti apa-apa dengan bahana yang bakal ditanggung seumur hidup. Siksaan di dunia malahan di akhirat. Yang harus kita fikirkan sebagai remaja Islam sekarang adalah, bagaimana kita hendak menambah nilai diri bagi persiapan menempuh masa depan yang semakin mencabar. Bukan hanya tahu berseronok sahaja.

Oleh itu, marilah kita bersama menggembleng tenaga, bermujahadah melawan nafsu. Mari kita bangkit menolak Hari Kekasih! Bersama kami, PEMBINA dalam kempen Belia Tolak Hari Valentine. Anda perlu memuat turun poster kempen menolak Hari Valentine daripada Facebook PEMBINA. Kemudian, mengambil gambar anda bersama poster tersebut, dan jangan lupa memuat naik gambar anda di ruangan sosial seperti Facebook,Instagram dan Twitter dengan hashtag wajib, #BELIATOLAKVALENTINE .

Akhir kalimah, sambutlah fitrah cinta yang dikurniakan Allah dengan memperbanyakkan ibadah dan berusaha menjadi remaja addin. Moga kita adalah mutiara idaman Islam. Selamat berusaha.

(rujukan: Majalah Gen-Q Isu 42)

 

Marina Binti Abdul Halim

Aktivis PEMBINA RCMP

Diploma Fisioterapi, Semester 2.

PEMBINA menolak kenyataan Datuk Mohamad Shahrum Osman

aizam-zaini-300x336

Merujuk kepada berita yang bertajuk “Belia harus manfaatkan konsert K-Pop” bertarikh 2 Disember 2013 di Sinar Harian oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Mohamad Shahrum Osman, PEMBINA menolak kenyataan ini sekeras-kerasnya. Apa yang disuarakan oleh beliau tidak melambangkan keseluruhan pandangan semua muslim di Malaysia.

Selaku seorang yang mempunyai kedudukan yang dihormati oleh masyarakat, beliau seharusnya menyeru belia terutamanya dikalangan anak-anak muda Melayu-Islam agar mempunyai pandangan alam “world view” yang betul dan jelas menurut syariat Islam. Seperti sabda Nabi s.a.w dalam riwayat al-Baihaqi; “Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih”- Islam itu yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.

Alasan untuk mempelajari budaya dan bahasa negara kelahiran kumpulan K-Pop sangat tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali. Secara logik akal malah dalam tradisi keilmuan sendiri, ia amat bertentangan. Mempelajari budaya asing serta bahasa asing ada tempatnya, ada suasananya, dan ada gurunya.

Apakah dengan menghadirkan diri ke konsert yang sangat jelas menonjolkan aurat tanpa segan silu boleh dianggap sebagai majlis ilmu? Malahan pakaian yang dikenakan oleh kumpulan itu boleh diklasifikasikan sebagai bukan seksi tetapi terlalu seksi boleh mengundang rasa ghairah kepada nafsu kaum lelaki. Ini amat bertentangan dengan syariat Islam. Rujuk surah An-Nur ayat 30-31, bagaimana Allah telah menjelaskan untuk manusia yang beriman agar menjaga pandangan serta memelihara aurat dengan sempurna.

PEMBINA tidak menghalang niat murni untuk menggalakkan belia mempelajari budaya dan bahasa asing, malah PEMBINA menyokong pandangan ini kerana ia dapat membina kualiti dan keilmuan pada diri belia. Namun PEMBINA tidak bersetuju jika alasan ini digunakan bagi menghalalkan konsert K-Pop yang amat bertentangan dengan syariat Islam.

bigbang

PEMBINA menyeru Datuk Mohamad Shahrum, agar menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam setiap tindakan dan perlakuan kita sebagai muslim yang taat kepada Allah s.w.t. PEMBINA memohon agar kenyataan beliau dapat dibetulkan agar ia tidak disalah anggap oleh sebilangan besar belia-belia yang kelak merupakan generasi pimpinan masa depan negara.

PEMBINA juga menyeru kepada semua belia  agar menggunakan masa muda ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang dapat meningkatkan kualiti serta jati diri yang jitu. Lebih-lebih lagi sebagai seorang belia muslim, jadikan saat muda kita dipenuhi dengan pembinaan kefahaman Islam yang jelas dan tidak tersasar. Pelbagai bentuk serangan pemikiran yang sedang menyerang anak-anak muda perlu ditangkis dengan kekuatan jati diri.

Serangan pluralism, Islam liberal, syiah, hendonism dan banyak lagi adalah sebahagian daripada bentuk serangan yang tanpa henti-henti menyerang pemikiran golongan belia. Justeru PEMBINA menyediakan 4 pakej kepada belia diluar sana untuk membantu membina kekuatan jati diri antaranya pakej tarbiyyah, pakej kepimpinan, pakej BAKTI dan pakej rekreasi. Semuanya adalah untuk membina keperibadian Islam yang kuat dan jelas kepda golongan belia. Kepada yang berminat boleh layari www.pembina.com.my untuk info lanjut.

Nurul Aizam Zaini,
Pengerusi PEMBINA Melaka