CINTAILAH AKU SEPENUH HATI

Assalamu’alaikum  pembuka kata,
Dengan Bismillah tinta diberi,
Tiada yang indah selain cinta,
Apabila hati punya penyeri.

 

Bulan itu, bulan cinta… Petikan lirik daripada sebuah lagu ini jelas sesuai dengan bulan Februari. Februari dan cinta lazimnya digandingkan bersama kerana pada bulan inilah satu sambutan yang istimewa bagi pasangan muda mudi untuk melafazkan rasa kasih dan sayang mereka terhadap pasangan, berlangsung. 14 Februari atau dikenali sebagai Hari Kekasih. Terkenal sebagai Valentine’s Day di Barat malahan ia telah menjadi satu tradisi buat pasangan yang bercinta. Pada hari ini, kelazimannya si gadis akan menerima bunga daripada pasangan mereka dan akan dibalas dengan sekotak coklat bagi menunjukkan penghargaan buat insan tersayang. Hari ini turut dirai oleh seluruh penduduk dunia malahan sambutan besar-besaran turut dirancang beberapa bulan lebih awal bagi menyambut hari tersebut. Namun, tahukah anda bahawa Hari Kekasih ini sebenarnya mempunyai kisah yang lebih menarik daripada sebuah sambutan cinta biasa?

Raja Claudius II (268-270M) adalah seorang daripada raja yang telah memerintah empayar Rom. Sewaktu pemerintahannya berjalan, empayar Rom telah terlibat dengan pelbagai siri peperangan. Oleh itu, Raja Claudius II mengarahkan semua perkahwinan untuk dibatalkan.Tidak berpuas hati dengan arahan tersebut, St. Valentine dan St. Marius bertindak mengahwinkan pasangan Kristian secara sembunyi. Namun, hal tersebut akhirnya diketahui oleh Raja Claudius II dan raja tersebut telah menjatuhkan hukuman penggal kepala terhadap St. Valentine pada 14 Februari 270 Masihi. Oleh itu, bagi memperingati kematian St.Valentine, tarikh 14 Februari telah dijadikan sebagai hari upacara keagamaan .

Cerita diatas adalah tentang asal usul kewujudan Hari Kekasih. Sudah terang lagi bersuluh, hari tersebut merupakan hari keagamaan Kristian. Barangkali kita lupa bahawa dalam sebuah hadis, bahawa

“Seseorang yang meniru perbuatan sesuatu kaum adalah sebahagian daripada kaum tersebut”

11002879_1567770623481133_1999985631_o

Namun, seiring perubahan masa,hari itu telah dijadikan sebagai hari khusus buat pasangan bercinta bagi memanifestasikan rasa cinta buat kekasih hati. Namun, yang menyedihkan hati apabila hari ini turut disambut oleh remaja Islam dan lazimnya dirai dengan pergaulan bebas, berpesta hingga ke pagi dan mendorong kearah zina. Sedangkan Allah melarang hambanya untuk melakukan zina, apatah lagi menghampirinya. Hal ini terbukti kerana, setiap tahun selepas lapan bulan sambutan Hari Kekasih berlangsung, jumlah peratusan bayi luar nikah meningkat. Dan peratusan tertinggi dicatatkan oleh kaum Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Sedih, namun itulah hakikatnya. Kaum muda kini semakin jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Selain itu, jika kita fikirkan kembali, wajarkah kita mengasihi dan menunjukkan rasa cinta kita terhadap individu melalui satu hari yang khusus? Bukankah sayang dan cinta dilalui setiap hari? Adakah kita perlu lebih menghargai pasangan yang bukan halal daripada membalas jasa dan bakti yang dicurah ibu bapa sendiri? Seharusnya, sebagai anak yang taat, ibu bapa seharusnya menjadi keutamaan hidup selepas meletakkan Allah dan Rasul sebagai yang tertinggi dalam carta hati. Kerana, mereka yang telah banyak berkorban dalam membesarkan dan mendidik kita hingga ke usia kini. Sayangi dan hormati mereka, kerana redha Allah terletak pada redha mereka.Tanpa kehadiran ibu bapa sebagai pemula leluhur insan, dengan Allah memilih kita menjadi penyeri kehidupan suami isteri, pastinya kita tidak berpeluang untuk menghirup udara di dunia.

Ketahuilah para remaja, cinta bukan satu-satunya matlamat hidup. Ia cuma pewarna yang menyerikan fitrah manusia. Hadiah daripada Illahi buat hamba-Nya yang sangat dikasihi. Dalam Islam, kasih sayang dan cinta merupakan elemen utama yang menggerakkan perjalanan dakwah dan tarbiah Rasul kepada umatnya. Tanpa kasih sayang dan cinta Nabi Muhammad S.A.W, manusia tidak mungkin dapat menggapai nikmat iman, Islam dan ihsan. Di samping itu, antara sifat yang terkandung dalam Al Asma Ul Husna adalah Ar-Rahman yang bermaksud Maha Pengasih dan Ar-Rahim, Maha Penyayang. Tidakkah ia bukti jelas bahawa Islam agama cinta?

Di samping itu, Hari Kekasih juga membuka peluang buat syaitan bagi menghasut anak Adam bagi melakukan kemungkaran. Janganlah kita terpengaruh dengan bisikan syaitan, kerana nikmat yang sementara tidak membawa erti apa-apa dengan bahana yang bakal ditanggung seumur hidup. Siksaan di dunia malahan di akhirat. Yang harus kita fikirkan sebagai remaja Islam sekarang adalah, bagaimana kita hendak menambah nilai diri bagi persiapan menempuh masa depan yang semakin mencabar. Bukan hanya tahu berseronok sahaja.

Oleh itu, marilah kita bersama menggembleng tenaga, bermujahadah melawan nafsu. Mari kita bangkit menolak Hari Kekasih! Bersama kami, PEMBINA dalam kempen Belia Tolak Hari Valentine. Anda perlu memuat turun poster kempen menolak Hari Valentine daripada Facebook PEMBINA. Kemudian, mengambil gambar anda bersama poster tersebut, dan jangan lupa memuat naik gambar anda di ruangan sosial seperti Facebook,Instagram dan Twitter dengan hashtag wajib, #BELIATOLAKVALENTINE .

Akhir kalimah, sambutlah fitrah cinta yang dikurniakan Allah dengan memperbanyakkan ibadah dan berusaha menjadi remaja addin. Moga kita adalah mutiara idaman Islam. Selamat berusaha.

(rujukan: Majalah Gen-Q Isu 42)

 

Marina Binti Abdul Halim

Aktivis PEMBINA RCMP

Diploma Fisioterapi, Semester 2.

Sister’s Day | Memorable and inspiring moment

IPOH, 12 September 2014 – PEMBINA RCMP di bawah pakej aktivisme telah menganjurkan satu sesi suai kenal bersama mahasiswi tahun satu yang telah mendaftarkan diri ke UniKL-RCMP pada 1 September 2014. Seramai 53 orang mahasiswi yang terdiri daripada program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Diploma Fisioterapi, Diploma Radiografi dan juga Diploma Farmasi telah menghadirkan diri ke program ini.

Program yang bermula pada jam 7.30 malam yang dimulakan dengan solat magrib secara berjemaah diikuti dengan bacaan mathurat beramai-ramai. Seterusnya mahasiswi dihidangkan dengan makan malam yang mengkehendaki mereka untuk makan bersama-sama menggunakan talam yang merupakan salah satu sunah junjungan besar Rasulullah SAW. Ini sedikit sebanyak dapat merapatkan ukhuwah antara mereka dan mahasiswi yang lebih senior yang mana adalah salah satu dari objektif Sister’s Day ini diadakan.

Sejurus selepas itu, slot pertama iaitu slot Taaruf Kasih diadakan. Setiap mahasiswi diberikan belon yang tertulis nama yang bukan milik mereka dan dikehendaki untuk memperkenalkan siapakah orang tersebut.

10687520_863421280337164_918139320749001509_o

Antara objektif lain Sister’s Day ini diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswi mengenai cabaran bidang pekerjaan yang telah mereka pilih dan bagaimana untuk menghadapinya. Objektif ini telah dicapai melalui slot kedua iaitu slot perkongsian bersama Dr Najwa Hanim bt Abdul Latiff iaitu merupakan seorang ‘Houseman Officer’ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan juga merupakan seorang bekas mahasiswi UniKL-RCMP. Dr Najwa dalam perkongsiannya berkata bahawa sesusah mana pun sesorang itu, jika sekiranya dia dekat dengan Allah, sesungguhnya Allah pasti akan bantu. Sambung beliau lagi, sepandai mana pun kita, sesungguhnya kejayaan yang kita perolehi hanya datang daripada Allah.

10562576_863420790337213_5378787277614594874_o

Sesi perkongsian tersebut dapat membuka minda pelajar perubatan mengenai situasi sebenar yang bakal mereka hadapi apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti, serta dapat memberi semangat dan nasihat dalam menghadapi susah perit sepanjang lima tahun sebagai pelajar perubatan.

(Wan Nurul Amiera binti Wan Abdul Malek, mahasiswi tahun 1 MBBS)

Diharapkan agar program yang telah diadakan ini mampu memberi semangat kepada mahasiswi yang baru sahaja mendaftarkan diri dan seterusnya menjadikan mereka mahasiswi yang produktif sepanjang menjalani pengajian di UniKL- RCMP.

Siti Amirah bt Abdul Aziz,

Pengarah Sister’s Day.

RIADHAH MAHASISWI “GET ACTIVATED! ZALZIL AMNA ISRAEL”

IPOH, 6 September – PEMBINA RCMP berjaya menganjurkan program riadhah ‘Get Activated, Zalzil Amna Israel’ yg diadakan di Taman D.R Seenivasagam, khas buat mahasiswi RCMP. Program ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih daripada 65 orang peserta.

 

10616018_765484330179993_2260205865166234354_n (1)

 

Fakta menarik yang dikongsi juruacara riadhah saudari Najah, selain dapat mengeluarkan peluh, aktiviti sukan atau riadhah dapat mengeluarkan hormon ‘endorphin’ yang dihasilkan secara semulajadi dalam badan manusia. Hormon ini akan bertindak sebagai ejen agar tubuh badan sihat dan sentiasa ceria.

Semua peserta dilihat sangat bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam setiap aktiviti. Keadaaan ini sangatlah bertepatan dengan objektif serta tema program yang menyeru peserta untuk ‘get activated’ atau teransang untuk bertindak dan siap sedia untuk melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita.

Selain beraktiviti, turut diadakan sesi perkongsian yang disampaikan oleh Cik Farah Pauzee. Tajuk pengisian yang berbunyi “Get Activated: Hamasah dan Syabab” merungkai bagaimana pemuda yang bersifat hamasah dalam dirinya dapat berhijrah kepada Allah dan berubah menjadi insan hebat. Turut diceritakan perihal tentang Gaza dan bagaimana sikap rakyat Gaza dalam mempertahankan tanah air umat Islam.

1607079_765484530179973_2995555400668914459_n

Sudut Gaza juga disediakan bagi membolehkan peserta menandatangani petisyen Gaza, mengetahui isu Gaza, bergambar dengan ‘props’ sokongan kepada Gaza dan rakaman video protes kepada Israel. Program riadhah ditamatkan dengan sorakan sokongan kepada Gaza dan bacaan doa qunut nazilah serta doa rabithah.

 

Pengarah riadhah “Get Activated, Zalzil Amna Israel”,

Hafizah binti Haris.