RAMADHAN

IMG-20170604-WA0002

RAMADHAN,
Hadirmu membawa 1001 barakah
Dinanti seluruh umat Islam
Tanpa mengira darjat dan usia
Tanpa mengenal harta dan rupa.

Engkau tanda cinta Allah buat hambaNya
Kebaikanmu melebihi 1000 bulan
Amal ibadah padamu diangkat tinggi
Lailatul Qadar anugerah terindah.

RAMADHAN,
Hadirmu mengharapkan perhatian
Agar seluruh umat Islam menyedari
Engkau bukan bulan biasa
Yang hadir sekali dalam setahun.

Namun..begitu ramai yang terleka
Begitu ramai yang terlena
Ibarat berada di alam mimpi yang panjang
Hingga melepaskanmu pergi begitu sahaja.

RAMADHAN,
Khilafnya umat kini menjadikan engkau sebagai budaya
Tiada apa diperoleh melainkan lapar dan dahaga
Betapa rugi mereka yang mensia-siakanmu
Membiarkan engkau berlalu ibarat angin lalu
Tanpa mengambil pengajaran dan ikhtibar darimu

Hadirmu dipandang enteng dan mudah
Hari raya menjadi tujuan dan tumpuan
Segala langsir dan perabot ditukar
Tetapi amal ibadat tetap di takuk lama
Mengundang kerugian pada diri sendiri

RAMADHAN,
Seandainya kehadiranmu ini adalah yang terakhir
Tiada apa yang diharapkan melainkan
Pergimu tanpa sesalan
Redha dan Rahmat Allah dalam genggaman

Pergimu pasti dirindui dan ditangisi
Mereka yang mencintaimu kerana Allah
Doa dipanjatkan setulus hati
Semoga engkau bukan yang terakhir

Karya;
Nur Izzati Imanina binti Mohammad
Biro Media PEMBINA RCMP

KEDATANGAN RAMADHAN SATU ANUGERAH

IMG-20170527-WA0002

Pejam celik pejam celik bulan Ramadhan sudah pun tiba. Satu bulan yang menjajikan pelbagai kemanisan buat hamba Allah yang beriman dan bertakwa pastinya. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertakwa”
Al-Baqarah :183

Ramadhan ini adalah satu bulan yang sepatutnya menjadi satu titik permulaan untuk kita berhijrah ke arah yang lebih baik atau lebih tepat lagi sebagai satu permulaan baharu buat kita yang selama ini merasakan kesukaran untuk berubah. Dan di dalam bulan Ramadhan juga ada satu peristiwa besar yang sememangnya sangat beerti buat umat Islam iaitu peristiwa penurunan Al-Quran.

“Bulan Ramadhan,bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda(antara yang hak dengan yang batil) kerana itu barangsiapa di antara kamu menyaksikan (masuknya bulan inj),maka hendaklah ia puasa ”

Al-Baqarah : 185

Tetapi hakikatnya ramai yang menjadikan Ramadhan hanya sebagai satu adat yang sudah menjadi kebiasaan untuk disambut setiap tahun. Sekadar memahami Ramadhan sebagai satu bulan untuk berpuasa dan juga satu bulan yang perlu dilalui jika ingin menyambut hari raya. Alangkah ruginya kita seandainya membiarkan Ramadhan berlalu umpama angin yang tidak meninggalkan apa-apa kesan pada diri kita sendiri terutamanya.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Berapa banyak orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja”(HR. Ibnu Majah no 1690)

Sepatutnya pada bulan Ramadhan inilah kita melipatgandakan ibadah kita kerana pahalanya juga berlipatkali ganda. Banyak sekali amal ibadah yang boleh kita lakukan pada bulan Ramadhan ini. Hanya tinggal rajin atau malas sahaja untuk dilakukan. Disini dikongsikan beberapa amal ibadah yang boleh dilakukan atau dipertingkatkan pada bulan yang mulia ini.

1. Membaca Al-Qur’an

Ambil peluang pada bulan Ramadhan ini untuk bertilawah Al-Qur’an. Perbanyakkan bacaan Al-Qur’an dan sebaiknya untuk memastikan bacaan al-Qur’an kita sentiasa konsisten sepanjang bulan Ramadhan ,maka buatlah target kita sendiri. Contohnya, mungkin kita boleh meletakkan sasaran untuk menghabiskan satu juzuk Al-Qur’an pada setiap hari dan jika target ini dilaksanakan dengan baik tak mustahil di penghujung Ramadhan nanti kita akan berjaya menghabiskan 30 juzuk Al-Qur’an! Wah, seronok bukan jika berjaya melaksanakan amalan yang baik ini. Percaya atau tidak ia akan menjadi satu kepuasan kepada kita pastinya. Kalau tak percaya cubalah..

2. Solat Terawih

Seperti yang kita semua sedia tahu betapa istimewanya Solat Terawih ini kerana ibadah ini khas untuk bulan Ramadhan. Ini bermakna dalam setahun hanya sebulan sahaja ia dilakukan dan amatlah rugi kalau kita melepaskan ibadah yang ‘special’ ini. Sesungguhnnya tidak ada jaminan kita akan mampu untuk solat terawih pada Ramadhan yang akan datang malahan kita juga tidak akan mampu memberi jaminan bahawa kita akan mampu menunaikan solat terawih pada keesokan malamnya pun kerana ajal maut itu adalah rahsia yang hanya diketahui Allah. Maka , jangan lepaskan peluang untuk melakukan solat terawih pada setiap malam. Jika tidak mampu melangkahkan kaki ke masjid, maka lakukanlah di rumah. Jangan biarkan malam pada bulan Ramadhan kita berlalu tanpa solat terawih.

3. Lailatul Qadar

Umum mengetahui bahawa di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang diberi nama sebagai malam Lailatul Qadar. Firman Allah :

“Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”
Al-Qadr : 3-5

Sesungguhnya malam Lailatul Qadar itu menjanjikan sesuatu yang sangat besar buat hamba Allah yang bangkit dari tidurnya dan berdoa serta beribadah kepada Allah. Maka beruntunglah orang itu dan rugilah bagi mereka yang membiarkan malam yang mana kebaikannnya melebihi seribu bulan itu berlalu begitu sahaja. Berjaga-jagalah kita pada 10 malam terakhir Ramadhan bukan untuk memasang langsir baharu atau menjahit baju raya tetapi untuk meraih Lailatul Qadar.

4. Bertaubat

Bertaubat sebenarnya perlu dilakukan sentiasa dan bukan hanya menunggu bulan Ramadhan untuk memohon keampunan kepada Allah kerana sebagai manusia biasa kita tidak akan mampu lari dari melakukan dosa. Tetapi pada bulan Ramadhan ini Allah membukakan pintu keampunan seluas-luasnya kepada hambaNya. Maka jangan kita melepaskan peluang keemasan ini untuk memohon keampunan daripada Allah. Semoga apabila berakhirnya Ramadhan,buku catatan dosa kita sudah pun kosong..

5. Sedekah

Satu lagi amalan yang juga sangat digalakkan dalam bulan Ramadhan adalah bersedekah. Berkongsi rezeki Allah dengan orang lain sememangnya satu amalan yang mulia dan sangat digalakkan. Kita sering kali mendengar kata-kata yang bebunyi, kita tidak perlu kaya untuk memberi dan kita juga tidak akan jatuh miskin jika memberi. Ganjaran dari Allah menanti mereka yang bersedekah sebahagian daripada harta mereka untuk orang lain pastinya. Jadi, marilah kita melatih diri kita untuk sentiasa bersedekah bermula dengan bulan Ramadhan ini moga-moga selepas ini kita tidak akan culas lagi untuk bersedekah.

Itulah antara amalan-amalan yang digalakkan untuk dilakukan di dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya masih banyak lagi amalan-amalan lain yang tidak saya senaraikan di sini,ini hanyalah sebahagian sahaja yang mampu saya kongsikan. Semoga artikel ini memberi manfaat yang buat saya dan semua yang membaca dalam mengharungi bulan Ramadhan. In Shaa Allah, amalan-amalan baik ini seandainya dilakukan secara konsisten dan berterusan dalam bulan Ramadhan,tidak mustahil ia akan menjadi satu amalan rutin untuk kita dalam bulan-bulan lain juga. Maka jadikanlah Ramadhan ini sebagai satu titik perubahan!

Sebelum mengakhiri kalam penulisan saya, tingkatkanlah ibadah di bulan mulia ini. Jika kita tidak mampu melakukan semua maka jangan tinggalkan semua. Buatlah sekadar mampu tapi jangan tak buat langsung. Harapan saya dan anda semua pastinya moga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dan semoga Ramadhan kali ini akan mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih baik. Selamat menyambut Bulan Ramdhan dan selamat berpuasa kepada semua Umat Islam.

Nur Izzati Imanina binti Mohammad
BIRO MEDIA PEMBINA RCMP

Aidiladha: Kurang Meriah atau Hambar ? Raikan Aidiladha Dengan Sebenar Penghayatan

Seringkali kita dengar luahan daripada segelintir umat Islam yang mengatakan sambutan Hari Raya Haji atau Aidiladha dirasakan tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri. Malah ada yang memberi pendapat sambutan perayaan Aidiladha hanya meriah di kawasan tertentu sahaja seperti di kawasan pantai timur kerana adat atau budaya yang diamalkan di situ tidak sama seperti negeri-negeri lain di Malaysia. Selepas solat sunat hari raya dan makan, kaum lelaki akan bersiap sedia untuk membuat korban atau menyaksikan korban. Kaum perempuan pula biasanya akan tinggal di rumah melakukan kerja-kerja rumah dan menyiapkan juadah hari raya.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tinggal berjauhan, hari raya adalah hari yang ditunggu-tunggu di mana anak-anak akan pulang bercuti di kampung. Begitu juga sebaliknya, anak-anak juga akan bergembira saat pulang beraya bertemu kedua ibu bapa. Kegembiraan dan kemeriahan akan terpancar tatkala semua ahli keluarga berkumpul menikmati juadah hari raya diselangi dengan senda gurau dan usik- mengusik sesama sanak saudara dan jiran tetangga. Namun begitu, adakalanya kemeriahan hari raya Aidiladha kurang dirasai.

Di mana silapnya?

Jika kita celikkan mata melihat saudara seIslam kita di luar sana, di seluruh dunia, terutama di timur tengah, rata-rata mereka mengakui bahawa hari raya Aidiladha di bumi anbiya’ adalah sama atau lebih berbanding hari raya Aidilfitri. Mengapa? Apa yang telah mereka lakukan sehingga kedua-dua hari raya dianggap sama meriah? Dengarkan coretan seterusnya.

Dua Hari Raya Dalam Islam. Adakah harus bergembira pada hari raya?

Umat Islam dikurniakan dua hari raya bagi menggantikan dua hari perayaan semasa jahiliyah :

Daripada Anas r.a, yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

(Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Di kitab Subulus-Salam, Imam As-Son’ani menyimpulkan berdasarkan hadis di atas; hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan.  (Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solatul-Idaian)

Menyambut Hari Raya Dengan Takbir

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya “Aidilfitri” dan “Aidiladha” dengan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran pada hari tersebut. Ini diterangkan di dalam al-Quran ayat 185 surah al-Baqarah:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
” .. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat pertunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. “

Dan juga di dalam hadith yang berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِ

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir.”

                                                                                                                                                                       (Riwayat Tabrani)

Korban Adalah Ibadat Yang Paling Disukai

Daripada Aisyah r.a “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.”

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud:

“Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Aidiladha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.”

Perkara Sunat Di Hari Raya

Ada banyak perkara sunat yang boleh dilakukan semasa hari raya. Contohnya menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji allah, mandi sunat hari raya, berwangi-wangian dan memakai pakaian baru, beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya, keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang, menyembelih korban, mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman. Berusahalah untuk melakukan setiap perkara sunat semampunya.

10649639_660011344106162_2914791089374422035_n

Kumpul Duit Bertahun-tahun Untuk Beli Binatang Korban

Diceritakan sebuah kisah benar yang berlaku di negara jiran. Seorang ibu tua yang datang ke tempat penjualan binatang korban. Dengan penuh senyuman menanyakan kepada si penjual, berapakah harga paling murah seekor kambing? Si penjual agak ragu-ragu untuk memberitahu harga jualan lantaran kasihan melihat keadaan dhaif ibu tua. Namun begitu, si penjual gagahi jua dengan menanyakan pada ibu tua. “Ibu, berapa jumlah wang yang ada pada ibu?” Si ibu mula mengerutkan dahinya kerana menyangka dengan wang yang ada, dia tidak mampu memiliki walau seekor kambing.

Si penjual segera menenangkan keadaan: “ Ibu tidak perlu khuatir, berapa sahaja yang ibu pinta saya akan pertimbangkan.” Setelah si ibu tua menyatakan wang dalam genggaman, si penjual terus menyatakan harga sebenar tanpa mengambil sedikit untung pun. Tanpa lengah, si penjual menghantar kambing millik ibu tua ke timpat tinggalnya. Seusai membawa turun binatang korban, ibu tua menyapa: “ Anak, ibu minta maaf ibu tidak punya wang membayar wang mobilnya. Ibu hanya punya wang binatang korban. Sudah 12 tahun ibu kumpul wang ini untuk menunaikan hajat ibu kandung ibu. Katanya sebelum matanya tertutup rapat, dia ingin sekali melakukan korban. Alhamdulillah tercapai sudah hajatnya”.

Si penjual terus menoleh ke arah sebuah teratak usang. Dilihat seorang nenek tua terbaring di satu sudut. Runtun hati si penjual melihat keadaan nenek dan ibu tua. Bagaimana keluarga yang miskin ini berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah korban. Apakah yang difikirkan oleh ibu tua sehingga ibu tua sanggup bersabar tunggu bertahun-tahun lamanya kumpul wang untuk membeli haiwan korban. Ibu tua bukanlah seorang yang mampu untuk membeli haiwan korban. Lebih baik duit itu disimpan untuk membeli keperluan harian. Namun begitu, si ibu tua lebih mengutamakan ganjaran di sisi Allah dan nilai ketaqwaan disebalik ibadah korban.

Kesimpulannya, bukanlah kemeriahan yang ditekankan saat meraikan hari raya. Sebaliknya mengangkat syariat Allah lebih daripada segala-galanya serta mentaati suruhan Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga adalah lebih dituntut. Kita menzahirkan kegembiraan di hari raya, mengucapkan tahniah dan bersalam-salaman serta bertakbir sepenuh hati sepanjang 3 hari raya Aidiladha kerana itulah perkara yang harus dilakukan oleh setiap muslim ketika hari raya sebagai satu cara mengagungkan syariat Allah s.w.t. Walau apa pun keadaan kita, susah atau senang, kita sangat digalakkan untuk bergembira meraikan hari raya.

Bayangkan keadaan rakyat Palestin yang hidup dalam kesempitan dan suasana genting peperangan, yang kehilangan ahli keluarga tersayang, yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, tiada makanan dan elektrik, tiada ubat-ubatan. Tetapi ketika tiba hari raya mereka meraikan syiar Islam dengan penuh kemeriahan. Jikalau hendak dibandingkan dengan keadaan negara kita, amatlah tidak patut untuk kita mencipta suasana hambar di hari raya.

 

Maknailah hari raya Aidiladha dengan membuat korban walaupun satu bahagian kerana disitulah penghayatan kisah korban Nabi Ismail a.s dan bapanya Nabi Ibrahim a.s dapat diserap ke dalam kalbu selain penghayatan ibadat haji. Bertakbirlah memuji Allah s.w.t selama tiga hari dan agihlah daging korban sebagaimana yang ditetapkan. Jika tidak mampu untuk membuat korban, laksanakan perkara sunat hari raya dan saksikanlah pelaksanaan ibadat korban serta bertakbir dan bertahmidlah memuji Allah azza wajalla. Semoga ibadat korban akan mendekatkan lagi kita dengan Allah s.w.t. Dengan demikian, kita akan merasa gembira dan hari raya dirasakan meriah penuh barakah.

 

Ditulis oleh,

Hafizah binti Haris.