KEPIMPINAN MANTAP ASAS UMMAH BERKUALITI

pembinarcmp April 14, 2015 0

Salam alaik buat semua. Bersyukurlah ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita sebagai insan bergelar mahasiswa.

Demam pilihan raya bagi memilih pemimpin yang akan menyandang jawatan dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa telah selamat berlangsung. Dalam tempoh terawal ini, para calon yang terpilih sebagai wakil pelajar telah mula menjalankan tugas mereka seiring dengan manifesto yang dilontarkan sewaktu berkempen. Bak kata pepatah, lembu diikat dengan tali, manusia diikat dengan janji. Sesungguhnya, apabila calon berjaya memenangi hati para pelajar, mereka telah memegang tanggungjawab yang besar dalam menangani hal ehwal mahasiswa.

Pemimpin. Menjadi insan terpenting dalam sesebuah organisasi. Mari kita imbas individu terhormat yang berjaya mentadbir dan memimpin ummah dengan sangat cakna. Individu yang bersedia mendengar permasalahan anak buah dan pintar memikirkan solusi yang berkesan dalam menanggani halangan yang muncul. Itulah Nabi Muhammad SAW, model utama dalam kepimpinan Islam. Dengan membaca dan meneladani sirah kehidupan junjungan Rasullullah SAW, para pemimpin kini boleh mengaplikasikan cara kepimpinan yang digunakan oleh Baginda.

Setiap pemimpin perlu sedar bahawa setiap undi yang dipangkah membawa erti yang besar buat pengundi. Lazimnya, para pengundi mengharapkan perubahan yang positif melalui barisan kepimpinan yang baharu. Ia juga bagi membaiki segala kekurangan dan membuat penambahbaikan dalam usaha pemimpin terdahulu. Bagi peringkat universiti, Majlis Perwakilan Pelajar, Biro Perwakilan  Mahasiswa atau apa sahaja gelaran mengikut institusi berperanan  penting dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang duniawi dan ukhrawi. Oleh itu, para pemimpin harus menunjukkan contoh yang baik dalam aspek yang dikemukakan.

Pertama, pemimpin haruslah mempunyai jiwa mesra rakyat dan sentiasa sanggup mendekati anak buah bagi mengetahui sebarang perkara yang sedang melanda akar umbi. Jiwa mesra ini juga penting bagi mengeratkan hubungan sesama pemimpin dan golongan yang dipimpin. Rasulullah SAW sendiri suka duduk bersama masyarakat Madinah sambil mendengar sebarang cerita yang dikemukakan oleh mereka. Kemudian, Rasulullah akan memikirkan penyelesaian yang terbaik lalu membawa kebaikan kepada semua pihak.

Paling utama bagi pemimpin, mereka hendaklah sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang perkara yang mungkin akan merencatkan perancangan yang telah direncanakan Mungkin, konflik yang menimpa akan mematangkan lagi pemikiran dan bakal memberikan inspirasi dalam menggerakkan organisasi dengan lebih ampuh. Justeru, pemimpin yang baik sanggup mencabar diri dengan merancang sesuatu yang di luar kotak. Mereka juga sentiasa berlapang dada mendengar setiap pendapat dan cadangan yang disampaikan oleh anak buah. Contoh yang paling menarik buat kita teladani adalah melalui peristiwa Perang Khandak, apabila Rasullullah menerima cadangan Salman Al-Farisi bagi mengorek parit sebagai benteng bagi menghadapi musuh.

tokoh kepimpinan pembina rcmp

 

Dalam dunia yang serba mencabar kini, masyarakat sering kali bersifat individualistik  dan kurang bergaul antara satu sama lain. Sebagai pemimpin  yang bertanggungjawab dalam memastikan hubungan antara ahli terpelihara, mereka perlu melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan dan merapatkan ukhwah antara satu sama lain. Program-program sebegini juga mampu melahirkan ahli yang aktif dan bekerjasama dalam pelbagai aspek.

Kesimpulannya, coretan ini bukanlah dinukilkan khas buat setiap pemimpin organisasi pelajar, malahan kita sebagai individu biasa juga bertanggungjawab dalam memimpin diri sendiri ke arah yang lebih berjaya. Bahkan, itu yang lebih menjadi keutamaan sebagai seorang muslim. Buat pemimpin sekalian, sokongan dan dorongan yang jitu kami berikan buat anda. Teruskan usaha bagi menjadikan organisasi yang dipegang semakin teguh. Tidak lupa jua buat barisan kepimpinan PEMBINA UniKL RCMP yang telah berjaya menjalankan komitmen yang tinggi hingga menggondol anugerah Pembina IPT Terbaik dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-8, baru-baru ini. Selaras dengan anugerah yang dicapai, usaha dan ikhtiar dalam memastikan objektif untuk membangunkan jati diri mahasiswa Muslim khususnya di RCMP terus cemerlang Insya Allah.

Akhir kalam, marilah kita menjadi pemimpin ummah!

 

Marina Abdul Halim
Fisioterapi Semester 2

Komentar Anda!

Leave A Response »

Downloaded from Free Premium Downloads