ANTARA BANJIR DAN KERTAS KAJANG

pembinarcmp January 12, 2015 0

banjir-pahang

Saya memerhatikan gambar-gambar yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp dengan teliti. Memerhatikan kedasyatan banjir yang melanda bumi Malaysia kini,khususnya di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa bahagian lain di negeri Johor, Perak dan Perlis.  Hati dipagut kesayuan kala merenung sekeping gambar akan sebuah sekolah yang hanya tinggal bumbung. Sedangkan bangunan sekolah itu mempunyai 4 tingkat. Allahuakbar!

Dimaklumkan bahawa banjir yang menimpa tanah air kita kali ini ialah yang terburuk selepas kejadian banjir yang menimpa pada 2004, iaitu 10 tahun yang lalu. Sungguh, ia membangkitkan ingatan saya terhadap perbualan saya bersama sahabat-sahabat yang berasal dari negeri pantai timur.

“ Rumah kami agak tinggi, jadi alhamdulillah banjir jarang terkena di tempat kami. Tetapi, kami turut merasai tempiasnya. Rumah jiran, saudara-mara kami musnah teruk. Ada juga yang hanya tinggal tapak rumah, sedangkan rumahnya entah kemana dibawa arus.”

“ Kalau kamu nak mencari segala perkakasan rumah, cuba periksa bawah jambatan bila banjir dah surut. Waktu itu, memang bersepah segala peti sejuk, televisyen dan macam-macam lagi. Segala jenama dah tak bawa apa-apa makna lagi. Semua dah rosak.”

Saya yang menjadi pendengar setia hanya mampu mengangguk setuju. Ya, kesannya jelas terasa. Dan, pada ketika ini, pihak  penyelamat sedang berusaha mencari dan memindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan. Penduduk terpaksa tinggal berhimpit dalam dewan yang dijadikan penempatan sementara. Anak-anak kecil menangis tidak selesa, warga emas termenung meramal hari muka selain para ibu bapa yang berharap ujian ini akan berakhir dengan segera. Mereka turut berharap agar tiada insan yang menjadi korban kepada air yang semakin deras.

Selain itu, segala jenis bantuan dan sumbangan daripada segala aspek sangat diperlukan.  Sumber makanan, bekalan air bersih, pakaian serta pelbagai lagi kelengkapan diri semakin meruncing.  Ada di antara penduduk yang terpaksa memberanikan diri meredah banjir dan meranduk air semata demi bekalan makanan. Bukan tidak sedar akan bahaya yang sukar dijangka tetapi demi melihat keluarga dapat mengisi perut, itu sudah memadai. Semoga Allah membalas jasa ketua keluarga yang tak betah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga.

Lain pula halnya buat  mahasiswa-mahasiswi yang kini berada dalam minggu ulangkaji dan musim peperiksaan akhir. Selepas hampir empat  bulan mengikuti pengajian, mengumpul ilmu dalam kepakaran masing-masing, kini telah tiba masanya supaya ilmu itu diuji. Hal ini penting bagi setiap pelajar dalam mengukur  tahap penerimaan mereka terhadap setiap subjek yang diambil. Bagi saya yang turut memegang gelaran sebagai pelajar, peperiksaan boleh dianggap sebagai “banjir yang memenuhi kertas kajang”. Ya, jawapan yang ditulis di dada kertas putih seakan sama dengan banjir yang memenuhi bandar.

Dan,coretan ini khas buat teman-teman yang punya keluarga di kawasan-kawasan yang terjejas dengan musibah banjir. Pasti, kebimbangan mereka dua kali ganda apabila memikirkan keselamatan insan tersayang dan peperiksaan yang makin menghampiri. Namun, ketahuilah teman-temanku. Keluargamu amat berharap agar dirimu selamat menempuh imtihan universiti. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupmu dan mereka juga mengetahui bahawa kamu juga ingin bersama dengan mereka dalam menempuh dugaan ini sebagai sebuah keluarga. Dirimu punya tanggungjawab sebagai pelajar selain anak kepada sebuah keluarga. Tanggungjawab yang bakal menentukan nasib masa depanmu. Juga dapat merubah masa depan keluargamu. Bagaimana? Dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaranmu.

Oleh itu teman-temanku, berdoalah selalu agar setiap urusan kita dipermudahkan oleh Allah. Percayalah, setiap kejadian yang menimpa terselit hikmah yang membina. Mungkin, kehidupan yang mendatang akan lebih baik daripada sebelumnya? Insya Allah.

Oleh itu, sebelum menutup kalam, saya ingin menasihati semua terutamanya para pelajar yang mungkin dalam perjalanan ke institusi pengajian tinggi selepas menghabiskan minggu ulangkaji di rumah. Berhati-hatilah selalu. Semoga setiap kilometer yang berlalu diredai Allah. Tidak lupa juga buat setiap insan, marilah kita bersama-sama meringankan beban mereka yang memerlukan dengan memberikan sedikit sumbangan seikhlasnya. Anda boleh mengikuti program bakti yang dijalankan oleh  PEMBINA serta menderma menerusi akaun bank  yang telah dibuka. Setiap sumbangan punya nilai yang besar terutama untuk saham akhirat.

Akhir kalam,selamat menghadapi peperiksaan akhir semua. Maa’ Salamah.

 

Marina Abdul Halim

Aktivis Pembina RCMP

Komentar Anda!

Leave A Response »

Downloaded from Free Premium Downloads