Rasulullah Teladan Kita

pembinarcmp January 14, 2014 0

Prophet-book-by-rstml

Islam adalah sebuah agama yang seimbang dan ia telah dilengakapi dengan cara hidup yang realistik dan praktikal di sepanjang zaman. Dengan itu seorang Nabi diutuskan bagi menterjemah serta merealisasikan  agar menjadi pedoman atau contoh terbaik buat manusia disepanjang zaman setelah kelahiran baginda.

Tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan dengan hari Isnin (riwayat Muslim, 8/25), merupakan suatu tarikh yang tidak asing lagi bagi seluruh umat Islam di dunia. Itulah saat lahirnya Nabi junjungan, Muhammad SAW yang diberi gelaran Al-Amin (Yang Terpuji). Nabi Muhammad SAW yang dinyatakan oleh Allah sebagai rahmatan lil alamin( rahmat seluruh alam) mempunyai ciri-ciri peribadi seorang Muslim yang sempurna kerana Baginda dididik terus oleh Allah SWT. Akan tetapi, perlu diingat Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah seperti mana yang telah dijelaskan Allah di dalam surah al-imran ayat ke 19. Maka, konsep rahmatan lil alamin adalah dengan  membawa kebenaran dan keindahan islam untuk dirasai dan disebarkan kepada semua manusia di seluruh pelusuk dunia.

Biarpun bergelar seorang nabi, baginda juga hidup seperti manusia yang lain, bermain seperti kanak-kanak yang lain dan pernah melakukan kesilapan lantas ditegur dan dijaga Allah. Baginda juga berkahwin dan mempunyai anak.Baginda adalah manusia biasa dan tubuh baginda tidaklah diperbuat daripada besi. Kedudukan baginda sebagai kekasih Allah bukanlah alasan pada baginda untuk lari daripada hukum-Nya. Sebagai pemimpin Negara Rasulullah SAW duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dihadapan hukum.

Rasulullah telah diberi gelaran Uswah hasanah (contoh teladan yang baik) sebagaimana sabda Allah SWT:

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi sesiapa yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Al-Ahzab:21)

Malah peribadi Rasulullah SAW juga telah diiktiraf oleh sarjana Barat bernama Michael H. Hart pada tahun 2001 dalam bukunya yang bertajuk The 100: A Ranking of The Most Influential Person in History. Beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama sebagai individu paling berpengaruh. Namun, hakikatnya peribadi Rasulullah SAW yang dipilih sebagai sebaik-baik dan semulia-mulia rasul tidak standing dengan mana-mana manusia kerana akhlak baginda  adalah al-quran seperti mana hadis  yang telah diriwayatkan oleh sayidatina Aisyah. Tiada akhlak yang lebih indah dan baik daripada keindahan serta kemuliaan akhlak al-Quran.  Imam Ibnu Katsir menjelaskan, makna hadis itu menunjukkan bahawa Nabi SAW seorang yang patuh kepada semua perintah dan larangan Allah SWT dalam al-Quran dengan penuh sabar serta berakhlak. Jika al-Quran memerintahkan sesuatu maka Rasulullah SAW menurutinya dan jika al-Quran menegahnya, maka Rasulullah SAW meninggalkannya.

Kepimpinan Nabi Muhammad SAW seharusnya diguna pakai oleh ramai pemimpin dunia hari ini untuk menyelesaikan segala krisis dunia dan kemanusiaan. Ini kerana Nabi Muhammad SAW dilihat sebagai model terbaik dan kepimpinan baginda diiktiraf serta diakui oleh 1.3 bilion manusia. Sesungguhnya cara kita melihat Rasulullah SAW menentukan apa yang kita perolehi daripada sejarah perjuangan baginda.

Rasulullah berdakwah selama 23 tahun dan selama itu banyak tribulasi dan dugaan yang ditempuhi. Strategi dakwah yang berkesan serta ketekunan dan istiqamah baginda berdakwah telah memberi satu impak yang besar dalam sejarah Islam itu sendiri.  Agama Islam menjadi satu fenomena yang diterima oleh masyarakat Quraish walaupun tidak ramai yang mahu menerimanya ketika itu. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW berjaya menonjolkan kebenaran islam dan keindahan islam  melalui contoh teladan  dan kebenaran islam melalui kalamullah. Malah,  menjelaskan  hakikat kehidupan di dunia dengan membawa pendekatan dan penekanan aqidah yakni berteraskan  kalimah syahadah.

Pengurusan yang efektif merupakan kunci kepada kejayaan Dakwah Rasulullah SAW. Menurut Dr. Muhammad Syafii Antonio(2008), terdapat lebih kurang lima aspek yang ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam berdakwah. Pertama, Rasulullah SAW displin dalam pengurusan wahyu. Sebagai penyampai risalah Islam, Baginda sentiasa memastikan  dirinya tidak melakukan pekara yang bertentangan dengan wahyu. Kedua, Baginda bijaksana dalam memberikan teladan. Bagi memastikan setiap risalah Islam diterima dengan baik, Rasulullah SAW tidak hanya menyuruh dan mengarah kecuali melakukannya terlebih dahulu. Seperti pepatah Inggeris ‘walk the talk’. Ketiga, Nabi Muhammad SAW mampu berkomunikasi  secara efektif. Seperti mana hadis yang disebutkan oleh  Sayidatina Aisyah:

“Rasulullah SAW apabila berbicara sangat jelas yang mana kalau ada sesiapa yang mahu membilangnya,pasti boleh melakukannya.”

(Riwayat Bukhari)

Keempat, bijaksana dalam mendekatkan diri dengan pengikut. Baginda melayani sahabat sama rata dan tidak ada pilih kasih atau membezakan taraf. Kelima, bijaksana dalam pengkaderan dan perwakilan yang terpilih serta tepat. Dalam organisasi dakwah adalah penting untuk melahirkan para pendakwah yang kompetan dan mampu menyampaikan dengan baik. Rasulullah SAW berjaya mentarbiah beberapa orang sahabat untuk menjadi wakil  dakwah ke Madinah. Penghantaram Mus’ab bin Umair adalah satu contoh yang jelas.

Lujnah tarbiah bagi melahirkan tenaga dakwah yang berkualiti sehingga bertaraf ulama adalah sangat penting. Sepertimana Ikhwanul Muslimin berjaya melahirkan pendakwah-pendakwah serta pemimpin bertaraf dunia yang ditakuti oleh musuh Islam sebagai contoh bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang telah digulingkan oleh As-Sisi

Dakwah bukanlah satu tugas yang mudah  dan boleh dibuat dengan sambil lewa. Ia merupakan satu tugas yang berisiko tinggi tetapi Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita betapa tugas dakwah itu boleh menjadi mudah apabila ada strategi dalam menguruskannya.

Dengan ini jelaslah, peribadi dan akhlak serta kebijaksanaan baginda tiada siapa yang dapat menandinginya. Ambillah ibrah (pengajaran) daripada sirah kehidupan Rasulullah SAW kerana didalamnya sarat dengan sejuta hikmah. Hidupkan sunnahnya dimana-mana. Dengan mengetahui cara hidup dan mengikuti sunnahnya, kita akan cuba membaiki cara ibadah dan dakwah kita. Mudah-mudahan ia melahirkan rasa cinta, menghargai dan menyayangi Nabi Muhammad SAW sebagai uswah hasanah dan rahmat ke seluruh alam dalam menyempurnakan akhlak manusia.

Wallahualam.

Arafah Binti Mahpar

Aktivis PEMBINA RCMP

maulidur-rasul

Komentar Anda!

Leave A Response »

Downloaded from Free Premium Downloads