Ambil tahu Syria : Siapa Bashar Al-Assad?

pembinarcmp March 23, 2012 0

Secara tiba–tiba, nama Bashar Al-assad menjadi ‘household name’ dalam percaturan politik dunia. Cengkaman kuasa hegemoni beliau ke atas rakyat Syria menyebabkan jutaan jiwa terseksa. Satu persatu hak asasi mereka direntap bagai tiada lagi harapan untuk mereka. Perjuangan soldadu awam ini melakar satu mesej yang jelas bahawa berbekalkan semangat, tirani seampuh mana pun mampu ditumbangkan. Namun timbul satu persoalan disini, Siapakah sebenarnya Bashar Al-Assad? Mengapa namanya diletakkan sebaris dengan Hosni Mubarak, Ben Ali dan Muaamar Gadafi? Mari kita retrospeksi kembali sejarah hidup insan yang dilaknat rakyat Syria ini.

Nama penuh beliau ialah Bashar Hafez Al- Assad, Lahir pada 19 september 1965 di Damsyik. Beliau merupakan anak kepada Hafez Al-assad yang juga nerupakan pemerintah yang dibenci rakyat Syria kerana menyekat hak untuk mengundi serta mengharamkan penubuhan parti politik lain. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Al–Hurriya, sebuah sekolah yang ditubuhkan kolonial Perancis ketika zaman penjajahan Syria.  Beliau berasal dari suku kaum Alawi yang juga merupakan penganut fahaman syiah di Syria.

Kemudian, Bashar Al-assad berjaya memasuki Universiti Damsyik sebagai seorang pelajar perubatan. Selepas ditauliahkan sebagai seorang doktor, beliau memulakan karier di hospital Tishrin, sebuah hospital tentera di Damsyik. Selepas empat tahun berkhidmat, bidang kepakaran ophthalmology telah menarik minat beliau. Justeru itu, beliau telah berhijrah ke United Kingdom dan mendapat latihan kepakaran di Western Eye Hospital, sebahagian daripada jaringan Saint Mary Hospital.

Bashar sebenarnya tidak begitu cenderung kepada bidang politik. Malah, ayahnya lebih meletakkan harapan kepada Basil Al-assad, abang beliau untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun malang tidak berbau. Basil maut dalam kecelakaan jalan raya. Ini menyebabkan Hafez mengambil langkah drastik, memanggil Bashar supaya pulang dan diserapkan kedalam ketenteraan. Hal ini kerana tentera memegang kuasa dominan dalam pemerintahan Syria. Hampir kesemua bekas presiden Syria termasuk Hafez sendiri pernah menyandang hieraki tertinggi dalam tentera sebagai kolonel sebelum bergelar presiden.

Bakat kepimpinan Bashar diasah. Ayahnya juga menggunakan beberapa taktik kotor seperti memaksa beberapa pegawai veteran untuk bersara, dan digantikan dengan pegawai dari suku kaum Alawi( keluarga Al-assad juga dari suku kaum ini) yang setia kepada Bashar. Kemudian Bashar dilatih untuk mengemudi negara dengan menjadi penasihat politik kepada Hafez.

Tahun 2000 merupakan ‘turning point’ dalam hidup Bashar. Pertama kerana ayahnya Hafez meninggal dunia. Kedua, Bashar Al-Assad menyandang jawatan presiden. Proses peralihan kuasa inilah mengundang protes sekaligus kebangkitan rakyat Syria.

Perlembagaan Syria menyatakan bahawa umur minimum untuk presiden ialah 40. Tetapi, syarat ini telah dipinda oleh parliament Syria kepada 34. Pindaan ini boleh berlaku kerana Bashar telah menyingkirkan pesaing politik dan ahli parlimen hanya terdiri dari sekutu kuat beliau. Dengan tiada pesaing, Bashar menjadi presiden dengan mudah tanpa melalui proses pilihanraya.

Rakyat Syria ditindas dari pelbagai sudut. Pertama dari aspek undang-undang. Syria masih lagi berada dibawah undang–undang darurat sejak 1963. Hal ini membolehkan kerajaan menahan sesiapa sahaja yang dirasakan membawa ancaman.Tahanan kemudianya di seksa di dalam Mezzeh Prison. Keadaan penjara digambarkan sebagai sangat tidak berperikemanusiaan. Kekejaman ini diteruskan kesinambungannya oleh Bashar. Ayahnya menggunakan kaedah ini sebagai instrumen politik beliau supaya tidak tercabar oleh sesiapa. Bashar juga tidak terkecuali dari menggunakan taktik yang sama. Hal ini terbukti dengan kenyataan bahawa Syria hanya mempunyai satu parti politik iaitu Parti Arab Ba’ath.

Dari aspek ekonomi, Syria mengamalkan hakpemilikkan negara. Ini bermakna rakyat Syria disekat untuk mengumpul harta dan taraf sosio ekonomi masyarakat ditentukan oleh negara. Hasilnya, rakyat Syria dibelenggu kemiskinan. Walaupun Syria kaya dengan sumber minyak namun sebahagia besar hasil ini disalurkan kepada ketenteraan. Dengan korupsi yang begitu membarah dalam pentadbiran, jurang antara kaya dan miskin sangat luas. Fahaman hakpemilikan negara ini telah dipelopori oleh fahaman Ba’athisme yang juga merupakan Central Political Ideology bagi parti pimpinan Bashar. Pelopor fahaman ini, Zaki Al-Zarusi dan Michel Aflaq telah mencedok idea dari pemikir sosialis barat seperti Karl Marx, Houston Stewart Chamberlain dan Friedrich Nietzsche dan diasimilasikan supaya lebih harmoni dengan budaya Arab.

Dari aspek sosial, rakyat Syria yang rata–rata nya merupakan pengikut aliran mahzab sunni ditindas dengan kejam oleh rejim Bashar. Hal ini  kerana kerajaan Syria didominasi oleh syiah Alawi. Ratusan ribu puak sunni Kurdish dinafikan kerakyatan dan digelar sebagai pendatang asing. Internet hanya dibenarkan pada 1 Januari 2011. Walau bagaimanapun, semua pergerakkan rakyat dialam maya dikawal. Puak minoriti pula dinafikan hak mereka untuk pekerjaan di sektor awam yang dimonopoli oleh syiah alawi.

Wal akhirul kalam, penindasan terhadap rakyat Syria bukanlah suatu perkara yang baru. Namun kemuncaknya berlaku pada tika ini. Rakyat sudah yakin bahawa semangat yang utuh mampu untuk berhadapan dengan mortar dan peluru. Marilah sama-sama kita menghulurkan doa agar saudara Islam kita di sana terus berada di bawah lembayung Rahmat Allah.

 Affendi bin Mohd Ali

Naib Presiden 1 

Komentar Anda!

Leave A Response »

Downloaded from Free Premium Downloads