Nilai kejayaan Di Alam Disney.

pembinarcmp March 4, 2012 3

disney

Siapa pernah menonton kartun Disney? Mesti pernah bukan? Alam kanak–kanak kita dihiasi dengan utopia dan fatamorgana yang dicorakkan oleh kartun–kartun dari Disney. Ketika itu, Aladinlah yang megajar kita erti ketabahan. Cinderellalah yang mengajar kita erti kepayahan. Snow white lah yang mengajar kita erti kemaafan (yeke?? Tak sure lah ). Namun, apabila armada kehidupan kita berlayar ke fasa yang seterusnya, navigasi kita mula berubah, spektrum cerapan kita terhadap alam semakin luas. Kita mula sedar, alam ria Disney jauh menyeleweng dari hakiki dan realiti yang kita tempuhi.

Di alam ria Disneylah, minda naif kita didandan secara lembut, bahawa setiap hero itu perlu kacak, bergaya, dan gagah perkasa. Babak–babak indah diteruskan lagi dengan sang puteri yang jelita, memberi kasih yang tidak berbelah bahagi kepada ‘knignt in the shining armor’ nya itu. Premis penceritaan kemudian dihiasi dengan adegan tari menari di tengah–tengah dewan banquet di dalam rumah agam, di terangi lampu chandelier yang sangat besar.

Untuk berjaya di alam Disney , anda perlu cantik seperti snow white, kaya seperti Aladdin, gagah seperti Sinbad atapun punyai kerajaan yang besar di dalam beauty and the beast. Tapi sayangnya, kita tidaklah segagah putera di dalam snow white, kita tidaklah seanggun Cinderella. Kita tidaklah sekaya prince Naveen dalam sayembara Princess and the Frog. Kita hanya biasa–biasa sahaja. Tiada puteri yang perlu diselamatkan. Tiada takhta yang perlu di warisi. Tiada jin yang berwarna biru menjadi teman sejati.

Eh! Sekejap! Jikalau sifir kejayaan adalah rupa, kekayaan dan harta benda, semacam tidak adil pula. Kalau begitulah rugilah mereka yang miskin, punahlah mereka yang tidak punyai rupa yang tampan dan menawan, tenggelamlah mereka yang berada didalam kasta terendah masyarakat. Kalau akal yang cerdik jadi taruhan, maka rugilah mereka yang akalnya ditambah dyselexia atau syndrome down. Bagaimana dengan mereka yang tidak ke sekolah?

Firman Allah dalam surah Al – Imran.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahaya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Jelas Allah telah berikan panduan yang jelas bagaimana melakarkan kejayaan dalam kehidupan. Maka bersyukurlah kerana kita berada di dalam agama yang adil untuk semua manusia. Kita tidak perlukan rupa bak bulan purnama untuk berjaya. Kita tak perlukan harta yang melimpah ruah untuk berjaya. Tetapi kita perlu menghayati agama kerana disitu punca kejayaan

Lihat sahaja Bilal Bin Rabah. Beliau bukan siapa siapa. Semua elemen penentu kejayaan yang di canang-canang pada masa ini tidak pada beliau. Rupa? beliau hanya seorang manusia yang berkulit gelap. Harta? Alahai kadang-kadang makan pun terpaksa bertangguh-tangguh. Pangkat? Beliau hanya seorang hamba sahaya. Tetapi selepas sahaja melafazkan kalimah thayyibbah, manifestasi syahadatul haq beliau terpancar pada setiap tingkah lakunya. Sehingga beliau di angkat menjadi muazzin pertama dimuka bumi dan namanya mashyur ke serata alam. Sehinggakan Umar R.A ketika menjadi Amirul Mukminin turut merindui ketiadaan dirinya di Makkah.

Lihat juga Musab bin Umair. Sebelum memeluk Islam lagi Mus’ab terkenal sebagai orang yang berperawatakan lemah-lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Namun syahid beliau di medan Uhud. Apabila kain kaffan ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu. Tetapi syurga berada di genggamannya. Apakah yang lebih berharga dari ganjaran tempat di syurga?

Malah empayar kegemilangan Islam turut berdiri dengan megah kerana agama dan runtuhnya juga kerana kelalaian pemerintah dalam menegakkan ad – din ini. Oleh itu, hayatilah Islam. Sejarah lampau membuktikan Islam mengangkat insan yang hina menjadi mulia, dan tamadun mundur menjadi gemilang.

Tuntasnya di sini, kejayaan itu bukan pada rupa kerana rugilah orang yang tiada rupa (macam penulis). Kejayaan juga bukan pada pangkat kerana rugilah orang–orang yang tiada kuasa. Kejayaan juga bukan pada harta kerana rugi lah orang–orang yang miskin. Kejayaan juga bukan pada akal kerana rugilah orang yang tidak cerdik. Allah maha Adil, kejayaan itu ada pada Islam. Letaklah nilai kejayaanmu dalam Islam. Bukan seperti Alam utopia di dunia Disney.

 

Disediakan oleh

Akhi Fendi Ali,

Biro Risalah PEMBINA RCMP

Komentar Anda!

3 Comments »

  1. syazwan aziz March 4, 2012 at 3:14 pm - Reply

    best2…..

  2. shahirasalim March 4, 2012 at 5:59 pm - Reply

    Astaghfirullah…essential reminder for everyone.

  3. REEZAN March 4, 2012 at 7:22 pm - Reply

    Tahniah, satu langkah untukmula menulis, tetapi apa yang hendah dikemukakan mash belum jelas, ia boleh dibaiki serta ditambah bagi menambat hati-hati pembaca, dengan kata lain dalam penulisan ini masih belum ada `X-fector’ untuk menarik minat orang untuk membaca lebih lanjut. Teruskan usaha-usaha tarbiyah yang murni ini.

Leave A Response »

Downloaded from Free Premium Downloads