Palestin Isu Ummah

Air yang berkeladak, kalau dikocak pasti terlihat keruhnya. Peristiwa Trump-Baitul Maqdis adalah titik untuk umat Islam nampak, sedar dan faham akan realiti sekarang. Isu ini bukan isu bermusim. Isu ini bukan isu Palestin sahaja, tetapi ini adalah isu maruah umat Islam dan jati diri yang lupa akan tanah suci Al Quds.

IMG-20171212-WA0001

 

Marilah kita rapatkan saf. Jaga solat. Ikutlah Al-Quran dan sunnah. Perbanyakkan amalan dan berdoa. Kurangkan hiburan. Fahamilah kepentingan mengapa kita perlu peduli. Banyakkan membaca. Jangan perkecilkan usaha orang lain dalam isu ini. Tanya, apa usaha kita selain mainan kata-kata sahaja. Insyaa Allah kemenangan milik Islam walau berjuta-juta saudara kita terkorban, sama ada syahid atau tidak, itu urusan Allah kerana DIA Maha Mengetahui niat setiap hamba-hambaNya.

IMG-20171212-WA0000

 

Dan janji Allah itu pasti, keluarnya Dajjal adalah apabila ummah dalam kegelapan, lemah, sebelum tibanya hari kebangkitan. Sematkan Al Kahfi dalam hati. Moga kita terlindung daripada fitnah Dajjal dan pengakhiran hidup dalam syahadah.

Hasbunallah wa ni’mal wakeel.
“Cukuplah Allah menjadi Penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.

Thiya Anissa Ramlan
Pengarah Program,
Minggu Kesedaran Ummah 2017.

RAMADHAN

IMG-20170604-WA0002

RAMADHAN,
Hadirmu membawa 1001 barakah
Dinanti seluruh umat Islam
Tanpa mengira darjat dan usia
Tanpa mengenal harta dan rupa.

Engkau tanda cinta Allah buat hambaNya
Kebaikanmu melebihi 1000 bulan
Amal ibadah padamu diangkat tinggi
Lailatul Qadar anugerah terindah.

RAMADHAN,
Hadirmu mengharapkan perhatian
Agar seluruh umat Islam menyedari
Engkau bukan bulan biasa
Yang hadir sekali dalam setahun.

Namun..begitu ramai yang terleka
Begitu ramai yang terlena
Ibarat berada di alam mimpi yang panjang
Hingga melepaskanmu pergi begitu sahaja.

RAMADHAN,
Khilafnya umat kini menjadikan engkau sebagai budaya
Tiada apa diperoleh melainkan lapar dan dahaga
Betapa rugi mereka yang mensia-siakanmu
Membiarkan engkau berlalu ibarat angin lalu
Tanpa mengambil pengajaran dan ikhtibar darimu

Hadirmu dipandang enteng dan mudah
Hari raya menjadi tujuan dan tumpuan
Segala langsir dan perabot ditukar
Tetapi amal ibadat tetap di takuk lama
Mengundang kerugian pada diri sendiri

RAMADHAN,
Seandainya kehadiranmu ini adalah yang terakhir
Tiada apa yang diharapkan melainkan
Pergimu tanpa sesalan
Redha dan Rahmat Allah dalam genggaman

Pergimu pasti dirindui dan ditangisi
Mereka yang mencintaimu kerana Allah
Doa dipanjatkan setulus hati
Semoga engkau bukan yang terakhir

Karya;
Nur Izzati Imanina binti Mohammad
Biro Media PEMBINA RCMP

KEDATANGAN RAMADHAN SATU ANUGERAH

IMG-20170527-WA0002

Pejam celik pejam celik bulan Ramadhan sudah pun tiba. Satu bulan yang menjajikan pelbagai kemanisan buat hamba Allah yang beriman dan bertakwa pastinya. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertakwa”
Al-Baqarah :183

Ramadhan ini adalah satu bulan yang sepatutnya menjadi satu titik permulaan untuk kita berhijrah ke arah yang lebih baik atau lebih tepat lagi sebagai satu permulaan baharu buat kita yang selama ini merasakan kesukaran untuk berubah. Dan di dalam bulan Ramadhan juga ada satu peristiwa besar yang sememangnya sangat beerti buat umat Islam iaitu peristiwa penurunan Al-Quran.

“Bulan Ramadhan,bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda(antara yang hak dengan yang batil) kerana itu barangsiapa di antara kamu menyaksikan (masuknya bulan inj),maka hendaklah ia puasa ”

Al-Baqarah : 185

Tetapi hakikatnya ramai yang menjadikan Ramadhan hanya sebagai satu adat yang sudah menjadi kebiasaan untuk disambut setiap tahun. Sekadar memahami Ramadhan sebagai satu bulan untuk berpuasa dan juga satu bulan yang perlu dilalui jika ingin menyambut hari raya. Alangkah ruginya kita seandainya membiarkan Ramadhan berlalu umpama angin yang tidak meninggalkan apa-apa kesan pada diri kita sendiri terutamanya.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Berapa banyak orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja”(HR. Ibnu Majah no 1690)

Sepatutnya pada bulan Ramadhan inilah kita melipatgandakan ibadah kita kerana pahalanya juga berlipatkali ganda. Banyak sekali amal ibadah yang boleh kita lakukan pada bulan Ramadhan ini. Hanya tinggal rajin atau malas sahaja untuk dilakukan. Disini dikongsikan beberapa amal ibadah yang boleh dilakukan atau dipertingkatkan pada bulan yang mulia ini.

1. Membaca Al-Qur’an

Ambil peluang pada bulan Ramadhan ini untuk bertilawah Al-Qur’an. Perbanyakkan bacaan Al-Qur’an dan sebaiknya untuk memastikan bacaan al-Qur’an kita sentiasa konsisten sepanjang bulan Ramadhan ,maka buatlah target kita sendiri. Contohnya, mungkin kita boleh meletakkan sasaran untuk menghabiskan satu juzuk Al-Qur’an pada setiap hari dan jika target ini dilaksanakan dengan baik tak mustahil di penghujung Ramadhan nanti kita akan berjaya menghabiskan 30 juzuk Al-Qur’an! Wah, seronok bukan jika berjaya melaksanakan amalan yang baik ini. Percaya atau tidak ia akan menjadi satu kepuasan kepada kita pastinya. Kalau tak percaya cubalah..

2. Solat Terawih

Seperti yang kita semua sedia tahu betapa istimewanya Solat Terawih ini kerana ibadah ini khas untuk bulan Ramadhan. Ini bermakna dalam setahun hanya sebulan sahaja ia dilakukan dan amatlah rugi kalau kita melepaskan ibadah yang ‘special’ ini. Sesungguhnnya tidak ada jaminan kita akan mampu untuk solat terawih pada Ramadhan yang akan datang malahan kita juga tidak akan mampu memberi jaminan bahawa kita akan mampu menunaikan solat terawih pada keesokan malamnya pun kerana ajal maut itu adalah rahsia yang hanya diketahui Allah. Maka , jangan lepaskan peluang untuk melakukan solat terawih pada setiap malam. Jika tidak mampu melangkahkan kaki ke masjid, maka lakukanlah di rumah. Jangan biarkan malam pada bulan Ramadhan kita berlalu tanpa solat terawih.

3. Lailatul Qadar

Umum mengetahui bahawa di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang diberi nama sebagai malam Lailatul Qadar. Firman Allah :

“Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”
Al-Qadr : 3-5

Sesungguhnya malam Lailatul Qadar itu menjanjikan sesuatu yang sangat besar buat hamba Allah yang bangkit dari tidurnya dan berdoa serta beribadah kepada Allah. Maka beruntunglah orang itu dan rugilah bagi mereka yang membiarkan malam yang mana kebaikannnya melebihi seribu bulan itu berlalu begitu sahaja. Berjaga-jagalah kita pada 10 malam terakhir Ramadhan bukan untuk memasang langsir baharu atau menjahit baju raya tetapi untuk meraih Lailatul Qadar.

4. Bertaubat

Bertaubat sebenarnya perlu dilakukan sentiasa dan bukan hanya menunggu bulan Ramadhan untuk memohon keampunan kepada Allah kerana sebagai manusia biasa kita tidak akan mampu lari dari melakukan dosa. Tetapi pada bulan Ramadhan ini Allah membukakan pintu keampunan seluas-luasnya kepada hambaNya. Maka jangan kita melepaskan peluang keemasan ini untuk memohon keampunan daripada Allah. Semoga apabila berakhirnya Ramadhan,buku catatan dosa kita sudah pun kosong..

5. Sedekah

Satu lagi amalan yang juga sangat digalakkan dalam bulan Ramadhan adalah bersedekah. Berkongsi rezeki Allah dengan orang lain sememangnya satu amalan yang mulia dan sangat digalakkan. Kita sering kali mendengar kata-kata yang bebunyi, kita tidak perlu kaya untuk memberi dan kita juga tidak akan jatuh miskin jika memberi. Ganjaran dari Allah menanti mereka yang bersedekah sebahagian daripada harta mereka untuk orang lain pastinya. Jadi, marilah kita melatih diri kita untuk sentiasa bersedekah bermula dengan bulan Ramadhan ini moga-moga selepas ini kita tidak akan culas lagi untuk bersedekah.

Itulah antara amalan-amalan yang digalakkan untuk dilakukan di dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya masih banyak lagi amalan-amalan lain yang tidak saya senaraikan di sini,ini hanyalah sebahagian sahaja yang mampu saya kongsikan. Semoga artikel ini memberi manfaat yang buat saya dan semua yang membaca dalam mengharungi bulan Ramadhan. In Shaa Allah, amalan-amalan baik ini seandainya dilakukan secara konsisten dan berterusan dalam bulan Ramadhan,tidak mustahil ia akan menjadi satu amalan rutin untuk kita dalam bulan-bulan lain juga. Maka jadikanlah Ramadhan ini sebagai satu titik perubahan!

Sebelum mengakhiri kalam penulisan saya, tingkatkanlah ibadah di bulan mulia ini. Jika kita tidak mampu melakukan semua maka jangan tinggalkan semua. Buatlah sekadar mampu tapi jangan tak buat langsung. Harapan saya dan anda semua pastinya moga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik dan semoga Ramadhan kali ini akan mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih baik. Selamat menyambut Bulan Ramdhan dan selamat berpuasa kepada semua Umat Islam.

Nur Izzati Imanina binti Mohammad
BIRO MEDIA PEMBINA RCMP